KUCHING - Persatuan Paintball Sarawak (PPS) akan menghantar empat pasukan menyertai Kejohanan Piala Dunia Asia pada 13-16 November ini di Kuala Lumpur.
Kejohanan terbesar di Asia tersebut dijangka disertai pasukan ternama antarabangsa antaranya Datis dari Iran, Infernal (Thailand), Team Ku (Japan) dan Team Swat (Australia).
Dijangka sejumlah 60 pasukan akan menyertai kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Paintball Asia Pasifik sebelum ditukar kepada Kejohanan Piala Dunia Asia.
Koordinator PPS, Khairul Azreen memberitahu, selaras matlamat PPS untuk mempromosikan sukan paintball di Sarawak, persatuan tersebut menghantar empat pasukan untuk menyertai Kejohanan Piala Dunia Asia kali ini.
Menurut Khairul, ini merupakan kejohanan pertama peringkat dunia disertai PPS sejak ditubuhkan pada Oktober tahun lepas.
''PPS giat mempromosikan sukan paintball di Sarawak termasuk mengadakan kejohanan tersebut di peringkat bahagian serta pertandingan jemputan dengan pasukan negara jiran, Brunei.
''Kejohanan ini akan memberi pengalaman berguna kepada semua ahli PPS apabila berpeluang menentang pasukan ternama dari Asia dan Semenanjung Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat persedian awal sejak beberapa bulan lalu dengan menyertai kejohanan tempatan dan jemputan.
''PPS juga mendapat kemudahan tempat latihan persedian menghadapi kejohanan tersebut yang disediakan oleh Sentosa Sports Centre (SSC), Kota Sentosa Kuching," ujarnya.
Pemilik SSC, Andy Liu pula memberitahu, tempat latihan itu diadakan dalam dewan yang pastinya memudahkan aktiviti latihan tanpa berasa bimbang dengan keadaan cuaca di luar.
Katanya, memang pihaknya berhasrat dapat menjadikan sukan tersebut popular sekali gus menarik golongan muda untuk turut serta dan secara tidak langsung dapat mengelak mereka daripada terjebak dengan gejala tidak diingini.
Sources from: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment